Thursday 28 April 2011

JASA DAN BAKTI JADI SEBUTAN, HILANG DI MATA DI HATI JANGAN




”Siapa sangka Tuan Haji Yaacob akan menamatkan perkhidmatannya di IPG Kampus Keningau, beliau sendiripun mungkin tidak pernah bermimpi akan mengakhiri kerjayanya di suatu tempat yang letaknya beribu batu jauh dari kampung halaman dan negeri kelahirannya” demikianlah antara petikan ucapan Puan Penny Lim@ Lim Sai Kiow, Pengarah IPG Kampus Keningau dalam majlis persaraan Tuan Haji Yaacob bin Ismail pada 15 April 2011 di Dewan Tan Sri Suffian Koroh.  Lebih istimewa lagi, majlis persaraan beliau turut diraikan bersama isteri tercinta yang kebetulan berada di Keningau.  Selain penyampaian cenderamata, pemotongan kek hari jadi  dan persembahan khas daripada para pelajar, Tuan Haji turut diarak menaiki kenderaan mengelilingi kampus.

Tuan Haji Yaacob bin Ismail mula berkhidmat di IPG Kampus Keningau pada 5 April 2010 sebagai pensyarah kanan DG54 dan ditempatkan di Jabatan Kajian Sosial.  Sebelumnya, Tuan Haji telah berkhidmat di IPG Kampus Kota Bahru selama lebih kurang 19 tahun dan menjawat beberapa jawatan penting termasuklah sebagai  Ketua Jabatan  Hal Ehwal Pelajar.  Sesungguhnya perkhidmatan beliau terlalu singkat di IPG ini, namun banyak sumbangan yang telah beliau berikan baik dalam bidang akademik, pengurusan dan kokurikulum. Mungkin para pelajar lebih mengenali Tuan Haji sebagai orang kuat dalam Unit Beruniform Pengakap atau sebagai pensyarah di Jabatan Kajian Sosial, tetapi sebenarnya beliau juga telah dipertanggungjawabkan menjalankan tugas Ketua Jabatan Kajian Sosial sejak awal tahun 2011, terlibat secara langsung dalam program-program IPG  misalnya Sambutan Jubli Perak dan Konvokesyen.  Dan pada saat menjelang persaraannya,  beliau tetap komited mengetuai Jawatankuasa Perancangan Strategik IPG.    Seluruh warga IPG Kampus Keningau  amat menghargai akan usaha dan sumbangan Tuan Haji . Semoga terus dianugerahkan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki.

No comments:

Post a Comment