Thursday 11 August 2011

Ibadah ke arah kejayaan

SANTAPAN MINDA Oleh Dr. Ismail Zain

Bila kita menyebut perkataan ibadah maka sudah tentu ia meliputi usaha bakti yang dilakukan untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.   Di dunia kita dituntut mencari ilmu sebagai persiapan mendapat rezeki yang halal. Mmanakala untuk kebahagiaan di akhirat kita diwajib mengerjakan segala perintah Allah termasuklah mengerjakan amalan puasa di bulan Ramadan yang mulia ini.

Sebagai seorang murid kita harus memenuhi kedua-dua keperluan ini di di dunia dan di akhirat.  Anda tidak harus memberi alasan bahawa di bulan Ramadan ini proses pembelajaran tidak dapat dilakukan kerana keletihan.  Sedangkan mencari ilmu itu adalah sebahagian daripada ibadah yang seharusnya kita lakukan.

Dalam hal ini setiap murid harus bersedia mengatur langkah untuk beribadah untuk kebahagian dunia dan kebahagiaan di akhirat di bulan Ramadan ini dengan lebih sempurna. 
Jadual rutin seperti belajar di sekolah, menghadiri kelas tambahan dan mengulang kaji di rumah harus diteruskan macam biasa kecuali memerlukan sedikit perubahan masa. 
Manakala kewajipan kita sebagai seorang Ialam yang seharusnya memperbanyakkan amalan  di bulan Ramadan ini janganlah diabaikan, malah perlu dilipat gandakan.

Seperti yang telah tersedia maklum bulan puasa ini sudah tentu terdapat banyak  cabaran.  Hanya mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah mampu menempuh cabaran ini dengan rasa lega dan bangga diri. 

Manalaka mereka yang tidak sanggup menerima cabaran ini akan terjerumus ke dalam lembah kehinaan.  Sesungguhnya manusia ini akan menjadi hina jika ia tidak mempunyai ilmu dunia dan akhirat.

Seperti yang dijanjikan olah Allah setiap kebajikan yang dilakukan di bulan Ramadan ini akan dilipat gandakan pahalanya kepada kita, maka seharusnya ia menjadi satu motivasi kepada murid-murid untuk tidak melepaskan peluang membuat kebajikan sebanyak mungkin.  Belajar dengan sepenuh hati tanpa dipaksa merupakan salah satu kebajikan dan diharapkan semoga Allah akan memberi kita ganjaran yang sewajarnya.

Menyedari hakikat ini setiap murid haruslah mengambil peluang untuk belajar bersungguh-sungguh  tanpa memberi alasan yang boleh melemahkan diri sendiri.  Untuk memudahkan proses belajar ini, murid-murid harus mempunyai  jadual belajar yang sistematik,  dan tersusun.  

Berikan ruang untuk beribadah di waktu malam seperti menhadiri masjid atau surau untuk sembahayang sunat terawikh  serta juga bangun pada waktu malam untuk mengerjakan ibadah qiamullial yang mempunyai terlalu banyak hikmahnya.

Janganlah disebabkan sedikit cabaran yang kita hadapi ini dijadikan satu alasan untuk berehat atau tidak mengerjakan segala tugas harian kita.

Semoga segala usaha yang kita lakukan ini direstui Allah dan digandakan ganjaran serta diberikan kejayaan sepertimana yang kita inginkan. 


reff:http://www.adap.com.my
Read more ...

Zakat sucikan diri, tingkat daya saing ekonomi

KEFARDUAN mengeluarkan zakat fitrah pada Ramadan adalah bukti bahawa umat Islam perlu hidup bertolak ansur dan bersatu padu tanpa membezakan status ekonomi, keturunan, pendidikan dan kadar ketakwaan.

Perkara ini seiring dengan fungsinya untuk meningkatkan daya saing ekonomi kaum dua'fa (orang lemah).

Mereka ialah fakir, orang miskin, amil yang menguruskan zakat, mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang dalam perjalanan.

Dengan zakat itu dapat merapatkan jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin.

Zakat fitrah diwajibkan pada Ramadan kerana Allah memberi keistimewaan kepada Ramadan sebagai bulan toleransi dan perpaduan antara kaya dan miskin.

Orang kaya difardukan berpuasa bagi membolehkan mereka berasa keperitan hidup orang miskin apabila menahan lapar dan dahaga kerana ketidakmampuan memenuhi hajat hidup.

Dengan itu, akan timbul kesedaran dan rasa simpati terhadap keperitan hidup orang miskin. Rasa simpati ini dibuktikan dengan kesediaan mereka membayar zakat fitrah.

Zakat fitrah juga berfungsi membersihkan jiwa pembayar serta menimbulkan nilai toleransi dan perpaduan orang kaya terhadap orang miskin.

Hakikatnya, zakat berfungsi sebagai amalan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah hingga menjauhkan manusia daripada sifat mencintai dunia secara berlebihan dan melupakan hari akhirat.

Hikmatnya zakat juga dapat menyucikan diri orang yang berpuasa kerana ada kemungkinan dirinya itu mengalami kesan kelalaian, kerosakan puasanya.

Begitu juga dia akan mengelakkan orang fakir dan miskin daripada meminta-minta pada hari raya.

Ibnu Abbas berkata yang bermaksud: "Rasulullah telah memfardukan zakat fitrah sebagai menyucikan orang yang berpuasa daripada sia-sia dan kerosakan untuk menjadi makanan pada orang miskin."

Bagaimanapun, masih ada umat Islam yang mengambil mudah kewajipan berzakat fitrah. Mereka terlupa mengeluarkannya hingga tiba Aidilfitri.

Mengikut syarak, zakat fitrah perlu dilakukan sepanjang Ramadan manakala hukumnya menjadi haram selepas solat Aidilfitri.

Perkara ini ada disebut Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud: "Zakat fitrah itu dibuat bagi membersihkan orang yang berpuasa daripada percakapan yang sia-sia dan kotor dan makanan bagi orang miskin.

"Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, maka itulah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang membayar zakatnya sesudah solat, maka itu adalah sedekah biasa saja." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Berdasarkan hadis ini, janganlah kita berlengah untuk berzakat fitrah. Ingatkanlah ahli keluarga dan rakan supaya ibadat yang difardukan setahun sekali ini dapat dilakukan tepat pada masanya.

Zakat fitrah adalah tuntutan yang wajib ditunaikan apabila seseorang memenuhi syaratnya. Perkara ini berdasarkan hadis bermaksud: "Rasulullah memfardukan zakat fitrah pada Ramadan segantang tamar atau segantang gandum atas orang Islam sama ada hamba sahaya atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar."

Hukum mengeluarkan zakat fitrah turut diperuntukkan dalam enakmen setiap negeri ketika ini. Berdasarkan seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan zakat fitrah, dijelaskan: "Mana-mana orang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi:

(a) Enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu; atau

(b) Enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya."

Seksyen ini menggariskan bahawa menjadi kesalahan apabila seseorang gagal atau enggan menyempurnakan kewajipan zakat fitrah. Sesungguhnya, peruntukan ini terpakai kepada sesiapa saja yang enggan membayar zakat fitrah sedangkan dirinya cukup syarat.

Sesungguhnya, Islam seseorang belum lagi sempurna jika tidak mengeluarkan zakat.

Setiap Muslim hendaklah mengeluarkannya dengan hati terbuka, ikhlas dan bukannya berasakan ia adalah satu paksaan.
Read more ...

Tanda kedatangan Lailatul Qadar

LAILATUL Qadar adalah satu malam pada Ramadan. yang keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Perkara ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1 - 2)

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam itu dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami daripada ayat itu, ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi seribu bulan.

Kebesaran Lailatul Qadar adalah berdasarkan dua perkara.

Pertama, kerana pada malam itu diturunkan al-Quran.

Kedua, pada malam itu akan turun malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai Lailatul Qadar kerana pada malam itu akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan dan Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatul Qadar sering kali berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama. Pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam ganjil sesudah hari yang kedua puluh Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Perkara ini sesuai dengan hadis Rasulullah daripada Ibnu Umar yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin mencari Lailatul Qadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh.”

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam ganjil daripada sepuluh malam akhir Ramadan.”

Jelas daripada kedua-dua hadis itu bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku pada satu malam pada Ramadan. Ia adalah sebagai perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipatgandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadan al-mubarak.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh Lailatul Qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam itu.

Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:-

Allah menyembunyikan Lailatul Qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang Ramadan;

Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari itu;

Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu;

Allah menyembunyikan isim adzam antara nama-nama-Nya agar kita menyebut semua nama-Nya (Asmaul Husna);

Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa juga bentuk maksiat;

Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin;

Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia; dan

Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya;

Bagaimanapun berkaitan Lailatul Qadar, ulama sepakat mengatakan bahawa ada beberapa tanda apabila berlakunya malam itu, antaranya:

Orang yang berkesempatan melihat malam al-Qadar dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah;

Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walaupun berada dalam kegelapan;

Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan dapat mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka; dan

Orang yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa antara tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk putih bersih bagaikan bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas. Tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.

Read more ...

Sunday 7 August 2011

Selamat Hari Merdeka

Malaysia
Read more ...

Monday 1 August 2011

SELAMAT BERPUASA - 2011

Saya dan seluruh ahli keluarga  mengucapkan selamat beribadah di dalam bulan Ramadhan ini, semoga amalan terus dilakukan dengan keikhlasan.
Sesungguhnya, segala amalan itu akan diberikan ganjaran pahala, tetapi bagi orang yang beriman, bukan pahala itu yang menjadi matlamat, tetapi keredhaan Allah itu yang diutamakan.
Read more ...

Friday 29 July 2011

Enter aje! tingkat penggunaan PC, internet.





PRAKASH Mallya (kiri) bersama pelajar SMK Sri Mahkota menunjukkan isyarat bagus selepas menggunakan kemudahan di dalam trak Enter Aje! di Melaka, baru-baru ini.



BERDASARKAN kajian Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), kurang pengetahuan untuk menggunakan komputer (PC) dan Internet menjadi faktor utama yang menghalang golongan kurang berkemampuan menguasai kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kajian tersebut melibatkan 1,020 responden daripada 552 isi rumah mewakili pelbagai kelompok kurang berkemampuan di Malaysia.  Sebanyak 42 peratus responden menyatakan mereka tidak menggunakan PC kerana tidak tahu menggunakannya. Begitu juga dengan 48 peratus responden yang sama menyatakan bahawa mereka tidak tahu menggunakan atau memanfaatkan kelebihan Internet.

 
Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran Intel Malaysia, Prakash Mallya, dapatan kajian itu merupakan bukti bahawa sebahagian besar golongan kurang berkemampuan tidak dapat melihat kepentingan penggunaan PC dan Internet dalam kehidupan seharian mereka.

 
Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya setiap warga Malaysia ingin menyumbang secara aktif dalam ekonomi berasaskan pengetahuan maka lebih ramai rakyat yang perlu mendapat capaian kepada peralatan ICT untuk menghubungkan mereka kepada dunia INternet.

 
"Melalui kempen  Enter Aje!, Intel dengan rakan ekosistemnya komited untuk meningkatkan kesedaran tentang ICT, menggalakkan penggunaan PC dan faedahnya kepada golongan kurang berkemampuan," katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, Melaka baru-baru ini.
Kempen selama enam bulan ke seluruh negara ini disasarkan kepada 150,000 penduduk kurang berkemampuan yang melibatkan jelajah ke 55 bandar di 12 negeri.
Inisiatif  yang disokong oleh rakan kerjasama ekosistem Intel seperti Toshiba, Lenovo, HP, Acer, Samsung, Asus, Celcom, P1 dan YTL Communications ini akan mempamerkan faedah praktikal ICT kepada pengguna.
Semasa kempen berlangsung, pengunjung hanya perlu masuk ke trak yang disediakan dan menerokai kehebatan PC dalam membantu menyelesaikan tugas dan aktiviti harian mereka. 

 
Hal ini termasuk capaian kepada berita; maklumat umum dan hiburan dari Internet; mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran; automasi transaksi perniagaan; dan menyelia perdagangan bagi pengendali perusahaan kecil.
Trak ini akan pergi ke pelbagai lokasi termasuk 40 sekolah, 25 pusat jalur lebar setempat dan pusat membeli-belah di seluruh negara.

 
Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad ketika merasmikan pelancaran kempen  Enter Aje! berkata, inisiatif tersebut akan membantu memacu pembangunan ekonomi dan meningkatkan kadar penggunaan ICT.

 
"Saya yakin inisiatif ini akan mencapai matlamatnya dan mampu mempercepatkan kadar penggunaan PC dan Internet di seluruh negara," katanya.
Selain aktiviti di lapangan, kempen Enter Aje! turut mengadakan pertandingan atas talian dan pelbagai aktiviti lain sepanjang tempoh enam bulan untuk menggalakkan penyertaan komuniti kurang berkemampuan.


ref: http://www.adap.com.my/
Read more ...

Monday 11 July 2011

BIG MENTERJEMAHKAN SEMBILAN CIRI PENTING SEORANG GURU


Sembilan ciri penting seorang guru mampu diterjemahkan melalui aktiviti yang terkandung dalam program Bina Insan Guru. Ciri yang dimaksudkan ialah: respons positif terhadap persekitaran; bertindak menggunakan ilmu dan kemahiran; menghayati ciri kerohanian, nilai etika dan akhlak guru; membina mentaliti positif terhadap kerjaya guru; mampu mengurus diri, tahap kendiri tinggi; menyelesai masalah dan membuat keputusan; daya tahan emosi, jasmani, rohani dan sosial; kerjasama serta tanggungjawab; dan berfikir reflektif dan kritis.  
 
Demikianlah rumusan  refleksi yang dikemukakan oleh para pelajar program BIG yang berakhir pada  9 Julai  2011 bertempat di PULAKO, IPG Kampus Keningau. Program yang dirasmikan oleh Puan Penny Lim pada 6 Julai 2011 itu melibatkan 33 pelajar KPLI ambilan 2011 dan seorang pelajar PISMP.
Read more ...