Monday 21 March 2011

INSTITUT PENDIDIKAN GURU MELAKAR SEJARAH


IPG mencatatkan suatu lagi sejarah dalam dunia pendidikan negara apabila menganugerahkan ijazah sarjana muda perguruan  kepada graduan sulung Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2007.  Seramai 1,987 pelajar yang mengikuti latihan di 27 buah IPG seluruh negara telah berjaya menamatkan pengajian mereka pada November 2010.  Kesemua graduan ini telah pun ditempatkan di sekolah-sekolah rendah seluruh negara bermula pada 7 Februari lalu.

Istiadat konvokesyen yang berlangsung dengan penuh gemilang itu telah diadakan selama dua hari yang bermula pada 16 Mac 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan majlis tersebut menyeru agar guru mempertingkat dan melengkapkan diri dengan kemahiran asas sebagai pendidik dan memahami pengetahuan kandungan pedagogi.

"Justeru adalah penting untuk guru-guru memainkan peranan masing-masing ke arah membudayakan inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar. "Mereka mesti melengkapkan diri dari sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek," katanya.

Seramai 19 graduan IPG Kampus Keningau  iaitu opsyen Bahasa Melayu Pendidikan Rendah hadir dan  menerima ijazah  masing-masing pada hari tersebut. Saudara Fawwas yang ditemui sebaik sahaja tamat penganugerahan menzahirkan kesyukuran kerana usaha selama lima tahun berakhir dengan kejayaan.  Lebih manis lagi katanya kumpulan mereka adalah perintis kepada PISMP. 

“Saya ingin membuktikan bahawa graduan IPG mampu mengalas cabaran di sekolah dan yakin bahawa jiwa pendidik semakin subur  dalam diri kami”.
Read more ...